Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
MAKATI, REPUBLIK FILIPINA, Jumaat, 6 Mac. - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, selaku Menteri Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menghadiri Mesyuarat ASCC Ke-35 yang telah diadakan pada 5 Mac 2026 di Makati City, Republik Filipina.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Secretary of Social Welfare and Development, Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Rex Gatchalian, di bawah tema Kepengerusian ASEAN Filipina, 'Navigating Our Future, Together'. Timor-Leste telah menyertai mesyuarat ini buat pertama kalinya sebagai Ahli ASEAN.
Semasa mesyuarat tersebut, Menteri-menteri ASCC menegaskan semula komitmen bersama untuk memajukan ASEAN yang berteraskan rakyat, inklusif dan berdaya tahan, sejajar dengan peralihan daripada Pelan Tindakan ASCC 2025 kepada pelaksanaan Pelan Strategik ASCC di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Menteri-menteri ASCC turut mengiktiraf peranan penting ASEAN Database for Monitoring and Evaluation (ADME) System serta menekankan kepentingan penyelarasan rentas-tunggak dan rentas-sektor dipertingkatkan bagi memastikan inisiatif-inisiatif ASEAN memberi impak yang boleh diukur dan bermakna kepada masyarakat di rantau ini.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama Menteri-menteri ASCC lain telah menyatakan sokongan terhadap keutamaan-keutamaan ASCC Filipina dalam membina keluarga yang berdaya tahan dan perkasa, inklusiviti sosial, belia bijak dan inovatif serta masa depan yang mampan dan terjamin dari segi keselamatan makanan.
Yang Berhormat turut menekankan peranan utama institusi keluarga dan mengongsikan pengemaskinian terhadap Pelan Tindakan Institusi Keluarga Kebangsaan NBD bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan semasa.
Peranan kolektif Badan-badan Sektoral ASCC dalam memperkasa belia turut diketengahkan, khususnya dalam mempersiapsiagakan belia ke arah membina komuniti yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana, dan telah mengongsikan mengenai pengenalan modul pengurusan bencana dalam Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).
Yang Berhormat bersama Menteri-menteri ASCC, turut memuji usaha dalam memajukan inisiatif komunikasi dan penyebaran maklumat Pelan Strategik ASCC bagi memastikan pemilikan bersama (collective ownership) serta kefahaman yang menyeluruh terhadap Pelan tersebut.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menegaskan bahawa walaupun ASEAN telah mencapai pelbagai kejayaan di bawah Pelan Tindakan ASCC 2025, ukuran sebenar kejayaan terletak pada sejauh mana dasar-dasar tersebut meningkatkan kehidupan seharian rakyat ASEAN dan menyeru bagi mekanisme pemantauan dan penilaian yang lebih berkesan dan penyelarasan yang lebih mendalam antara sektor dan tunggak ASEAN serta memperkukuh komunikasi dan jangkauan agar usaha ASEAN lebih difahami dan dirasai oleh rakyatnya.
Sebelum mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat turut menyertai Menteri-menteri ASCC serta wakil sebagai ahli panel dalam ASCC High Level Forum 2026 pada 4 Mac 2026, sebagai platform penting pengongsian pandangan ASCC di peringkat tinggi ketika ASEAN melangkah ke arah pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Yang Berhormat menekankan kepentingan memperkasa belia ASEAN sebagai rakan peneraju dan arkitek bersama masa depan rantau ini dengan melangkaui penyertaan semata-mata ke arah kepimpinan belia yang bermakna serta penciptaan bersama dasar, berteraskan ASEAN 'centrality and outward-looking', yang diperkukuh melalui penyelarasan rentas-tunggak.
Yang Berhormat turut menegaskan keperluan pendidikan holistik, pembelajaran sepanjang hayat dan ekosistem inovasi bagi melengkapkan belia dengan daya tahan dalam landskap global yang pesat berubah.
Antara lain, Yang Berhormat turut mengongsikan mengenai Youth Town Hall yang diadakan di NBD, sebagai platform bagi belia berbincang secara langsung bersama dengan para menteri untuk meningkatkan pengetahuan, permerkasaan dan kerjasama ke arah pertumbuhan ekonomi dan sosial NBD dan Bas Belia BIMP-EAGA yang diperkenalkan oleh NBD pada tahun 2025, yang telah memberikan pendedahan bermakna kepada para belia kepada kepelbagaian sosiobudaya, potensi ekonomi dan peluang kerjasama.
Forum tersebut telah diakhiri dengan pengesahan 'ASCC Ministerial Statement on Empowering ASEAN Peoples' yang menegaskan komitmen bersama ASEAN untuk memperkasa individu, keluarga dan komuniti sebagai agen perubahan aktif dalam pertumbuhan, integrasi dan proses menuju Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Mesyuarat Ke-35 Majlis ASCC dan ASCC High Level Forum 2026 telah didahului oleh Mesyuarat Ke-40 Senior Officials' Committee for ASEAN Socio-Cultural Community (SOCA) yang diadakan pada 2 - 3 Mac 2026.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah disertai oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin bin Haji Johari, selaku Ketua SOCA NBD dan Pegawai-pegawai Kanan KKBS.